Sejarah SMeKSI
Sejarah SMeKSI
PENGENALAN
SMeKSI dibuka dengan rasminya pada 2.7.2001 dengan kod AEA 8008 SM Luar Bandar
Gred B. Sekolah ini dibina bagi menampung keperluan penduduk sekitar Seri Iskandar yang
selama ini bersekolah di SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub yang pelajarnya hampir mencecah
kepada 1800 orang sekitar tahun 2000. Ia juga untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar di SK
Seri Iskandar yang bilangan muridnya semakin meningkat. Tambahan pula terdapatnya 2 buah
pusat pengajian iaitu UiTM dan UTP serta pesatnya pembangunan di Bandar Baru Seri Iskandar
dengan pembukaan taman-taman perumahan baharu di kawasan sekitarnya.
PERKEMBANGAN SEKOLAH
Pada peringkat awal pembukaannya, sekolah ini menerima 218 orang pelajar yang terdiri
daripada tingkatan 1,2 dan 4 dan bilangan kelas adalah sebanyak 18 kelas sahaja. Guru kumpulan
pertama ditempatkan di sini ialah seramai 8 orang, kemudian jumlah itu bertambah menjadi 24
orang pada akhir tahun 2001. Sementara bilangan pelajar terus bertambah menjadi sekitar 950
orang (ting 1 – ting 5) pada tahun 2007. Namun pada tahun 2011 jumlah pelajar meningkat hampir
kepada seramai 1200 orang dan 74 orang guru. Bilangan murid dan guru terus mengalami
pertambahan setiap tahun. Sekolah ini menerima pelajar-pelajar daripada 3 buah sekolah rendah
iaitu SK Seri Iskandar, SK Felcra Nasaruddin dan SK Iskandar Perdana.
Dari segi kurikulumnya, sekolah ini menawarkan mata pelajaran utama di peringkat
menengah rendah dan menengah atas seperti sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia. Cuma
pengenalan kepada mata pelajaran Vokasional ditambah kepada pelajar tingkatan 4 pada tahun
2001 iaitu mata pelajaran Lanskap dan Nurseri serta Seni Reka Tanda. Begitu juga mata pelajaran
Pendidikan Muzik turut diperkenalkan pada tahun yang sama untuk pelajar tingkatan 1 dan
tingkatan 2 di kelas-kelas terpilih. Dari segi perjawatan pada tahun 2008 mula dilantik 4 ketua
bidang untuk SM Gred B iaitu bidang Bahasa, Kemanusiaan, Sains & Matematik dan Vokasional
& Teknik untuk memantapkan lagi pengurusan sekolah di SM Gred B. Mulai 8 April 2010 Kelas
Rancangan Khas telah ditubuhkan dengan menempatkan seramai 54 orang pelajar tingkatan 1
dalam dua kelas.Sehingga kini, Kelas Rancangan Khas melibatkan murid tingkatan 1 hingga 3
dengan kapasiti 2 kelas untuk setiap tingkatan. Pendidikan Khas mula diwujudkan pada Januari
2011 dengan 5 orang pelajar dan 2 orang guru. Pada tahun 2021, semua murid asli daripada 3
buah sekolah kacapuri iaitu daripada SK Suak Padi, SK Tumbuh Hangat dan SK Gedung Batu
telah berpindah ke SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub. Pada tahun 2022 bilangan pelajar
meningkat kepada 1229 orang dan bilangan guru seramai 92 orang. Manakala pelajar aliran
Pendidikan Khas adalah 35 orang. Pada 1 April 2022 sesi petang mula diadakan dengan 18 buah
kelas, melibatkan tingkatan 1 sebanyak 10 kelas dan tingkatan 2 sebanyak 8 kelas. Jumlah guru
sesi petang seramai 34 orang.
PENERAJU SEKOLAH
Sejak sekolah ini di buka, ia diterajui oleh pengetua-pengetua seperti berikut:-
1) En. Saidin b Osman 2001 – 2004
2) Tn. Hj. Hussein b Puteh 2005 – 2007
3) Pn. Hjh Hadijah bt Uda Mat Dris 2007 – 2009
4) Pn. Mashitah bt Ismail 2009 – 2018
5) Pn. Noor Hasnah bt. Alang 2018 – 2020
6) Tn. Hj. Izamudin b Ismail 2021 – 2024
7) Tn. Hj. Mohamad Saipuddin b Mohd Said 2024 – Sekarang
LAGU SMK SERI ISKANDAR GEMILANG
Ciptaan : En Abdul Aziz b. Abdul Rahman
SMK SERI ISKANDAR
SEKOLAH YANG TERCINTA
NAMAMU MEGAH DI PERSADA,
KAMI MERASA BANGGA,
TUNTUT ILMU MISI KAMI,
KEMAHIRAN DIBERI,
KAN KAMI SEMATKAN DI HATI,
SEMOGA DIBERKATI,
KAMI BERIKRAR,
KAMI BERJANJI,
BESTARI, CEMERLANG, GEMILANG,
KAMI BERHARAP,
KAMI MEYAKINI,
NAMAMU KAN DIJULANG.